FIESTA OLIMPIK RIO 2016 BERTEMAKAN ALAM SEKITAR

Sukan Olimpik Rio 2016 bermula secara rasminya dalam majlis pembukaan yang penuh gemilang bertemakan 'alam sekitar' di Stadium Maracana yang mampu menampung 80,000 penonton, pagi ini.
Temasya terbesar dunia edisi ke-31 ini disertai 205 negara, termasuk 10 atlet yang membentuk Pasukan Atlet Pelarian Olimpik untuk bersaing dalam 28 jenis sukan. 
Antara sukan yang baru diperkenalkan semula kali ini termasuk golf dan ragbi tujuh sebelah.

060816 olimpik, pingat emas
Acara pembukaan dimulai dengan lagu kebangsaan Brazil berkumandang disertai pancaran imej pokok yang diancam kepupusan, Pau-Brasil. Majlis itu disusuli paluan padu dram untuk menyemarakkan lagi kemeriahan suasana samba di dalam Stadium Maracana.
Tuan rumah turut mengambil kesempatan itu untuk mempromosi latar belakang dan budaya yang membentuk Brazil menerusi persembahan kesenian sebagai simbolik hamba abdi, kemeriahan, flora dan muzik. 
Peminat sukan juga tidak ketinggalan disajikan dengan persembahan-persembahan artis moden seperti penyanyi rap Brazil berusia 12 tahun, MC Sofia, yang berduet bersama Karol Conka untuk menyampaikan mesej perhambaan dan masalah perkauman. 
Dalam acara perarakan masuk, setiap kontinjen negara akan diketuai seorang atlet berbasikal yang dihias, sementara ada di kalangan atlet membawa pokok -- sebahagian 12,000 pokok yang terdiiri daripada 208 spesies -- bakal ditanam di Radical Park, sebagai legasi di Rio de Janeiro. 
Kontinjen Malaysia yang dibarisi 32 atlet kemudian membuat penampilan diketuai Datuk Lee Chong Wei yang diberi penghormatan membawa bendera Malaysia.

060816 olimpik, chong wei
Identiti kontinjen negara begitu menyerlah dan segak apabila mengenakan pakaian baju Melayu dan baju kurung  'Wira Malaysia' bertemakan Harimau Malaysia, iaitu oren dan hitam.

06816 OLIMPIK, perarakan
Olimpik Rio 2016 bakal melabuhkan tirainya pada 22 Ogos nanti. 

No comments:

Post a Comment